MAC 2022

Segera Tambah Kerusi Parlimen Kepada Sarawak, Sabah


KUCHING: Kerajaan disyorkan  menyegerakan pindaan berkaitan penambahan sehingga satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong mengesorkan pindaan  disegerakan berikutan ketika ini komposisi kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah hanya meliputi satu perempat atau sebanyak 56 kerusi dengan Sarawak 31 kerusi dan Sabah (25) dari keseluruhan 222 kerusi.

"Angka ini jauh berbeza berbanding dengan semangat yang telah diunjurkan dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963)," katanya ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Ke Bawah Titah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini.

 Wilson berkata, MA63 menekankan konsep  "Equal Partner" dan perkataan 'rakan kongsi' ini hanya dirujuk kepada tiga pihak sahaja iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu semasa pembentukan Malaysia.

 " Sabah dan Sarawak seharusnya diberikan satu pertiga daripada 222 kerusi dan sekiranya ini tidak berlaku, agihan kuasa dalam Parlimen hanya akan bergantung kepada satu pihak iaitu Semenanjung sahaja," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Ahli Parlimen atas sokongan yang telah diberikan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 Disember lalu dan menyambut baik pindaan itu serta diberikan perhatian kepada jumlah kerusi Parlimen bagi Borneo.

Sumber dari : Jiwa Bakti